Mempunyai logo yang cantik atau telah digunakan bertahun-tahun tidak bermaksud logo tersebut pasti boleh didaftarkan sebagai trademark.
Apabila permohonan cap dagangan diperiksa oleh MyIPO, beberapa isu boleh menyebabkan permohonan tersebut dibantah, dan memerlukan makluman lanjut atau akhirnya ditolak.
Secara rasmi, MyIPO membahagikan sebab utama penolakan trademark kepada dua kategori:
Alasan mutlak — berkaitan dengan sifat trademark itu sendiri.
Alasan relatif — berkaitan dengan konflik dengan hak trademark terdahulu.
Bagi pemilik perniagaan yang mahu daftar logo syarikat, memahami kedua-dua kategori ini sebelum pemfailan boleh membantu mengurangkan risiko, kos tambahan dan kelewatan.
Protect Your Idea Before Someone Else Does
Adakah Logo Yang Cantik Pasti Boleh Didaftarkan?
Tidak.
Reka bentuk yang kelihatan menarik dari sudut pemasaran tidak semestinya memenuhi keperluan trademark.
Fungsi utama trademark adalah untuk membantu membezakan barangan atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan lain.
Oleh itu, MyIPO bukan sekadar menilai sama ada reka bentuk itu kelihatan profesional. Pemeriksaan melibatkan persoalan undang-undang seperti sama ada tanda itu cukup ciri distingtif. dan sama ada terdapat konflik dengan hak terdahulu.
Sebab itu strategi trademark patut bermula sebelum logo digunakan secara besar-besaran.
1. Logo Tidak Mempunyai Ciri Distingtif Yang Mencukupi
Antara alasan mutlak yang penting ialah apabila trademark tidak mempunyai ciri distingtif.
Akta Cap Dagangan 2019 membolehkan Pendaftar menolak tanda yang tidak dapat membezakan barangan atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan lain atau tidak mempunyai ciri distingtif.
Dalam bahasa mudah, logo perlu berfungsi sebagai sesuatu yang membantu pengguna mengenal pasti sumber komersial.
Contohnya, penggunaan bentuk atau perkataan yang terlalu biasa untuk industri tertentu boleh menimbulkan persoalan sama ada pengguna benar-benar melihatnya sebagai identiti satu jenama.
Menambah elemen grafik tidak semestinya secara automatik menyelesaikan isu ini.
Keseluruhan tanda masih perlu dinilai.
2. Trademark Terlalu Deskriptif
Masalah seterusnya berlaku apabila tanda hanya menerangkan produk atau perkhidmatan.
Akta Cap Dagangan 2019 menyenaraikan sebagai alasan mutlak tanda yang semata-mata menunjukkan perkara seperti jenis, kualiti, kuantiti, kegunaan, nilai, asal geografi atau ciri lain barangan atau perkhidmatan.
Bayangkan syarikat menjual kopi dan cuba menggunakan tanda yang pada asasnya hanya menyatakan:
PREMIUM COFFEE
bersama grafik generik secawan kopi.
Isu yang perlu dinilai ialah sama ada keseluruhan tanda benar-benar berfungsi sebagai sumber pengenalan jenama atau sekadar menerangkan produk.
Untuk membina jenama jangka panjang, nama dan logo yang lebih distingtif. Biasanya memberi asas yang lebih baik untuk strategi trademark.
3. Tanda Sudah Menjadi Lazim dalam Perdagangan
Trademark juga boleh menghadapi masalah jika ia terdiri semata-mata daripada tanda atau petunjuk yang telah menjadi kebiasaan dalam bahasa semasa atau amalan perdagangan bona fide.
Ini berkait rapat dengan keperluan distinctiveness.
Sesuatu istilah yang digunakan oleh semua pemain dalam industri sepatutnya tidak mudah dimonopoli oleh satu syarikat sebagai trademark.
Jika jenama anda menggunakan istilah industri yang sangat umum, carian dan penilaian sebelum pemfailan menjadi lebih penting.
4. Logo Sama atau Terlalu Serupa dengan Trademark Terdahulu
Ini merupakan antara risiko paling penting dan termasuk dalam alasan relatif.
Akta Cap Dagangan 2019 menyatakan bahawa pendaftaran hendaklah ditolak jika tanda adalah sama dengan trademark terdahulu bagi barangan atau perkhidmatan yang sama. Ia juga boleh ditolak apabila terdapat kemungkinan kekeliruan kerana tanda dan barangan/perkhidmatan adalah sama atau serupa dalam keadaan yang dinyatakan oleh Akta.
MyIPO pula mempunyai panduan khusus untuk membandingkan tanda, termasuk persamaan visual, bunyi, idea tanda serta persamaan barangan dan perkhidmatan.
Jadi, mengubah sedikit warna atau menambah ikon tidak semestinya cukup untuk mengelakkan konflik.
Trademark dinilai secara lebih menyeluruh.
5. Logo Boleh Mengelirukan atau Memperdayakan Orang Ramai
MyIPO turut menyenaraikan larangan terhadap trademark yang penggunaannya boleh memperdayakan atau menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai atau bertentangan dengan undang-undang.
Ini boleh menjadi relevan jika sesuatu tanda memberi gambaran yang tidak benar mengenai produk, sumber atau ciri tertentu.
Oleh itu, jangan memilih elemen logo hanya kerana ia meningkatkan daya tarikan pemasaran.
Pertimbangkan juga apa yang disampaikan oleh tanda tersebut kepada pengguna.
6. Tanda Mengandungi Perkara Yang Dilarang atau Tidak Sesuai
MyIPO turut menyenaraikan tanda yang bersifat skandal atau menyinggung serta tanda yang boleh memudaratkan kepentingan atau keselamatan negara sebagai antara tanda yang tidak boleh didaftarkan.
Akta dan garis panduan juga boleh mengenakan sekatan terhadap penggunaan tanda, perkataan atau representasi tertentu.
Bagi logo yang menggunakan lambang rasmi, simbol tertentu atau elemen sensitif, pemeriksaan profesional sebelum pemfailan boleh membantu mengenal pasti isu.
7. Kelas dan Spesifikasi Barangan atau Perkhidmatan Tidak Disediakan dengan Tepat
Pemilihan kelas bukan semata-mata urusan pentadbiran.
Trademark didaftarkan berkaitan dengan barangan dan perkhidmatan tertentu.
MyIPO membenarkan permohonan dalam satu atau beberapa kelas dan membezakan fi berdasarkan penggunaan senarai barangan/perkhidmatan yang telah diluluskan atau spesifikasi lain.
Kesilapan dalam kelas atau spesifikasi tidak semestinya sama dengan penolakan atas alasan mutlak atau relatif.
Namun, ia boleh mewujudkan masalah semasa pemfailan, memerlukan pindaan atau menghasilkan skop perlindungan yang tidak sepadan dengan aktiviti sebenar perniagaan.
Contohnya, sebuah syarikat mungkin mendaftarkan logo untuk satu jenis produk tetapi lupa bahawa jenama yang sama juga digunakan bagi perkhidmatan utama lain.
Strategi kelas perlu melihat model perniagaan, bukan hanya keadaan hari ini.
8. Representasi Logo atau Maklumat Permohonan Bermasalah
MyIPO memerlukan representasi trademark yang jelas dan tahan lama dalam permohonan. Garis panduan semasa turut menetapkan maklumat tentang sifat tanda dan representasi grafik yang perlu diberikan mengikut jenis trademark.
Ini bermaksud fail yang kabur, butiran yang tidak konsisten atau representasi tanda yang tidak menggambarkan dengan jelas apa yang hendak dilindungi boleh menimbulkan isu semasa pemprosesan.
Sebelum memfailkan, pastikan anda benar-benar tahu:
Apakah tanda yang hendak didaftarkan?
Adakah nama sahaja?
Logo sahaja?
Atau kombinasi nama dan logo?
Penolakan MyIPO dan Opposition Bukan Perkara Yang Sama
Ini satu perbezaan penting.
MyIPO boleh membangkitkan objection atau menolak sesuatu permohonan berdasarkan alasan yang berkaitan dengan pemeriksaan.
Tetapi selepas permohonan diterima untuk publication, pihak ketiga juga mempunyai peluang untuk membantah pendaftaran.
Garis panduan MyIPO menyatakan bahawa selepas permohonan diterima dan diterbitkan dalam Intellectual Property Official Journal, terdapat tempoh dua bulan di mana pihak berkepentingan boleh memfailkan bantahan atau opposition.
Oleh itu:
MyIPO objection/refusal → isu semasa pemeriksaan oleh Registrar
Opposition → cabaran daripada pihak ketiga selepas publication
Kedua-duanya boleh menambah masa dan kos kepada proses, tetapi ia bukan prosedur yang sama.
Jika MyIPO Membantah Permohonan, Adakah Kes Sudah Tamat?
Tidak semestinya.
Sesuatu objection atau provisional refusal tidak semestinya bermaksud semua pilihan telah berakhir.
Bergantung pada keadaan dan tahap proses, mungkin terdapat ruang untuk memberikan respons, membuat pindaan tertentu, meminta pendengaran atau mengambil tindakan prosedural lain yang dibenarkan.
MyIPO sendiri menyediakan borang dan fi untuk permohonan pendengaran serta permintaan alasan keputusan berkaitan penolakan.
Tindakan yang sesuai bergantung pada alasan yang dibangkitkan.
Jangan memberi respons generik tanpa memahami sama ada masalah sebenar ialah distinctiveness, konflik dengan trademark terdahulu, spesifikasi barangan/perkhidmatan atau isu lain.
Cara Kurangkan Risiko Sebelum Daftar Logo Trademark
Risiko tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi ia boleh diurus dengan lebih baik.
Mulakan dengan carian trademark
Carian awal adalahantara langkah paling penting.
MyIPO sendiri menyatakan bahawa carian sebelum pemfailan sangat digalakkan untuk membantu mengelakkan penolakan terhadap permohonan yang telah difailkan. Carian awal MyIPO menilai secara prima facie berdasarkan alasan mutlak dan relatif.
Carian yang baik bukan sekadar mencari nama yang sama 100%.
Tanda yang serupa juga boleh menjadi relevan.
Nilai distinctiveness sebelum melancarkan jenama
Jangan tunggu sehingga pembungkusan, papan tanda dan kempen pemasaran telah siap untuk mengetahui bahawa nama atau logo menghadapi isu.
Lebih awal risiko diketahui, lebih mudah untuk membuat perubahan.
Tentukan apa yang sebenarnya hendak difailkan
Nama?
Logo?
Combination mark?
Keputusan ini patut dibuat berdasarkan bagaimana tanda digunakan dan apakah elemen yang mempunyai nilai komersial.
Pilih kelas berdasarkan perniagaan sebenar
Lihat bukan sahaja produk semasa tetapi juga perkembangan yang boleh dijangka secara munasabah.
Namun, elakkan memilih kelas tanpa tujuan semata-mata untuk mendapatkan perlindungan sebanyak mungkin.
Pastikan pemohon dan dokumen betul
Pemohon perlu dikenal pasti dengan betul dan representasi tanda perlu konsisten dengan apa yang hendak dilindungi.
Masalah asas pada peringkat pemfailan boleh menambah komplikasi yang tidak perlu.
Bila Patut Mendapatkan Bantuan Ejen Trademark?
Permohonan yang mudah mungkin kelihatan mudah dan bersifat “straightforward”, tetapi bantuan profesional menjadi lebih relevan apabila risiko meningkat.
Contohnya apabila carian menemui trademark terdahulu yang hampir serupa, jenama digunakan dalam beberapa kelas, anda menerima objection daripada MyIPO, terdapat opposition pihak ketiga atau perniagaan merancang perlindungan di beberapa negara.
KASS menyediakan perkhidmatan trademark daripada carian dan analisis sehingga pemfailan, prosecution, opposition, pembaharuan dan penguatkuasaan jenama.
Pendekatan ini membolehkan permohonan dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jenama, bukan sekadar tindakan menghantar borang.
Soalan Lazim
Kenapa trademark saya ditolak MyIPO?
Dua kategori utama ialah alasan mutlak dan alasan relatif. Alasan mutlak berkaitan dengan sifat trademark itu sendiri, manakala alasan relatif berkaitan dengan konflik dengan hak terdahulu.
Adakah logo terlalu simple boleh ditolak?
Isu utamanya bukan sekadar “simple” atau kompleks, tetapi sama ada tanda mempunyai ciri distingtif dan memenuhi syarat pendaftaran.
Kalau nama sama tetapi logo berbeza, adakah permohonan selamat?
Tidak semestinya. MyIPO menilai persamaan tanda serta barangan atau perkhidmatan yang terlibat, termasuk aspek visual dan bunyi dalam penilaian tanda serupa.
Adakah carian trademark menjamin kelulusan?
Tidak.
Carian membantu mengenal pasti risiko sebelum pemfailan tetapi tidak menjamin keputusan akhir.
Apa berlaku selepas trademark diterima MyIPO?
Jika permohonan diterima dan objections telah diselesaikan, ia akan diterbitkan untuk tempoh opposition sebelum boleh menuju kepada pendaftaran.
Bolehkah saya jawab objection MyIPO sendiri?
Bergantung pada keadaan, pemohon mungkin mengambil tindakan sendiri. Namun, jika objection melibatkan isu undang-undang, konflik hak terdahulu atau strategi pindaan, mendapatkan nasihat profesional boleh membantu menentukan respons yang sesuai.
Carian Awal Lebih Baik Daripada Menyelesaikan Masalah Selepas Pemfailan
Tiada strategi yang boleh menjamin bahawa permohonan trademark pasti diterima.
Namun, banyak risiko boleh dikenal pasti lebih awal.
Sebelum anda daftar logo syarikat sebagai trademark, semak sama ada tanda itu distinctive, lakukan carian trademark terdahulu, tentukan kelas yang betul dan pastikan anda jelas tentang tanda yang ingin dilindungi.
KASS International membantu pemilik jenama melakukan carian, menilai risiko, merancang strategi pemfailan dan menguruskan isu yang timbul sepanjang proses trademark.
Jika permohonan anda menghadapi objection atau anda mahu mengurangkan risiko sebelum memfailkan, hubungi KASS untuk mendapatkan penilaian berdasarkan tanda dan keperluan perniagaan anda.
Protecting your brand goes beyond one trademark. Learn the difference between registering your brand name and logo.
© KASS International. All rights reserved. This article is intended for practitioner information purposes and does not constitute legal advice.